HomeGlobalBolivia putuskan hubungan diplomatik dengan Israel

Bolivia putuskan hubungan diplomatik dengan Israel

BOLIVIA memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel selepas negara haram itu didakwa melakukan jenayah kemanusiaan di Gaza, lapor Agensi Xinhua.

“Bolivia memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai bantahan dan kecaman terhadap serangan tenteranya yang agresif dan tidak seimbang di Gaza,” kata Timbalan Menteri Luar Negeri, Freddy Mamani dalam sidang akhbar.

Bolivia turut menggesa Israel menamatkan sekatan bantuan keperluan asas seperti air dan makanan untuk kelangsungan hidup rakyat Palestin, kata Mamani.

“Kami menuntut serangan dihentikan di Semenanjung Gaza yang setakat ini telah meragut ribuan nyawa orang awam dan menyebabkan pemindahan rakyat Palestin secara paksa,” kata Menteri dalam Pentadbiran Presiden Luis Arce, Maria Nela Prada.

Bantuan kemanusiaan akan dihantar dari Bolivia kepada rakyat Palestin yang terjejas di Gaza menerusi kementerian pertahanan, kata Prada.

Isnin lalu, Presiden Bolivia, Luis Arce mengadakan pertemuan dengan duta Palestin ke Bolivia dan menyatakan solidaritinya kepada rakyat Palestin khususnya golongan kanak-kanak.

Bekas presiden Bolivia, Evo Morales sebelum ini menggesa negara itu memutuskan hubungan dengan Israel berikutan keadaan di Palestin.

Beliau turut mendesak agar Israel dinamakan sebagai ‘tanah pengganas’ selain Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu serta rakan sejenayahnya dikecam di mahkamah jenayah antarabangsa, berikutan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang.

Turut mengambil langkah sama, kerajaan Chile dan Colombia memanggil pulang duta-dutanya ke Israel, manakala Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva turut mengkritik serangan berterusan ke atas Gaza.

Author

Pilihan Editor