HomePendidikanLebih 4,000 kes buli di sekolah, KPM cadang tambah guru kaunseling

Lebih 4,000 kes buli di sekolah, KPM cadang tambah guru kaunseling

CYBERJAYA: Sebanyak 4,994 kes buli di sekolah direkodkan bermula Januari sehingga Oktober lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, jumlah itu meningkat mendadak berbanding 3,887 kes sepanjang tahun lalu.

Jelasnya, semua kes terbabit sudah disiasat dan tindakan susulan diambil terutamanya dari segi bimbingan kaunseling.

“Kes buli atau gejala sosial ini melibatkan banyak pihak, bukan hanya ibu bapa, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) juga, kita memerlukan penglibatan daripada mereka. Juga komuniti setempat.

“Tujuan kami untuk memastikan kes buli dapat dikurangkan dan pembuli dan mangsa buli dapat diberikan bimbingan sewajarnya,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH – Balik Pulau) berkaitan kes buli di sekolah.

Tambah Hui Ying, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang menambah bilangan guru bimbingan kaunseling sekiranya kes jenayah buli semakin meningkat.

Katanya, inisiatif itu dibuat bagi memastikan pihak kementerian dapat mengetahui punca sebenar kejadian buli itu berlaku sekali gus dapat menangani kes itu daripada berleluasa.

“Ya, sekiranya kes buli ini semakin meningkat, kita (KPM) akan menambah bilangan guru bimbingan kaunseling kerana kaunselor ini akan mengambil tindakan terhadap kes ini (buli).

“Ia supaya mereka (pembuli) dapat diberi kesedaran sepatutnya serta kita tahu kenapa kejadian buli itu berlaku dan mengapa mereka melakukan buli. Kaunseling adalah mustahak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan KPM telah menyediakan portal aduan buli yang membolehkan warga sekolah termasuk murid dan ibu bapa serta orang awam membuat aduan terus kepada pihak Kementerian dan maklumat yang diterima akan dilindungi.

Terdapat empat saluran utama Portal Aduan Buli iaitu melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPM, e-mel, talian telefon dan aplikasi WhatsApp.

Author

Pilihan Editor