HomeHiburanHafiz Suip berambut hijau demi raih publisiti?

Hafiz Suip berambut hijau demi raih publisiti?

TAMPIL dengan imej rambut berwarna hijau, penyanyi, Hafiz Suip memaklumkan hanya sekadar gimik untuk mempromosikan semula namanya dalam industri muzik sebelum mengumumkan kelahiran single terbaharunya berjudul Terus Bersinar.

Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33 yang sudah berada dalam industri lebih sedekad mengakui bahawa peranan gimik sangat membantu seseorang artis untuk mensensasikan semula nama dalam dunia hiburan.

“Saya akui dan tidak nafikan isu rambut hijau baru-baru ini, memang saya buat sekadar gimik untuk menarik perhatian semua orang.

“Mahu tidak mahu, perkara seperti ini (gimik) sudah menjadi lumrah selepas kewujudan media sosial,” kata Hafiz memetik Kosmo! Online.

Malah, pelantun lagu Kisah Cinta Kita turut percaya dalam kalangan selebriti juga menggunakan platform media sosial untuk memasarkan diri dalam industri supaya rekevan dan kekal dikenali.

“Hari ini, ramai selebriti menggunakan platform media sosial untuk pasarkan diri. Ikutkan, boleh saja buat cara lama untuk memperkenalkan diri dan beritahu tentang single terbaharu yang bakal dilancarkan.

“Namun, impaknya tidaklah seperti jika seseorang artis itu tampil dengan gimik sensasi. Seperti saya tampil dengan imej berambut hijau, secara tidak langsung tiba-tiba nama saya menjadi perhatian dan bualan netizen.

“Walaupun ada yang kata saya sudah punya nama besar sebab pernah menang anugerah, namun tetap guna gimik untuk mempromosikan diri,” ujarnya.

Bekas juara program Akademi Fantasia ketujuh (AF7) itu bagaimanapun tidak menolak menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak yang mempersoalkan tindakannya mewarnakan rambut kerana bertentangan dengan soal agama.

Tambahnya, dia sedar tentang hukum hakam seseorang muslim itu mewarnakan rambut, namun sebagai artis, dia perlu memikirkan strategi untuk mempromosikan diri dalam dunia hiburan.

“Memang ada yang mempersoalkan tindakan saya mewarnakan rambut dengan imej seorang muslim. Saya sedar dan tahu tentang hukumnya.

“Cuma dalam hal ini, saya berada dalam dunia hiburan. Sebagai penyanyi, saya perlu ada cara untuk meraih publisiti dan memasarkan diri.

“Sejujurnya, perasaan bersalah itu tetap ada. Tapi bila difikirkan semula apa yang saya buat ini atas tuntutan kerja, saya teruskan sahaja,” kongsinya.

Terdahulu, Hafiz menarik perhatian peminatnya selepas hilang seketika dari radar dunia hiburan apabila tiba-tiba tampil dengan imej berambut hijau dalam media sosialnya.

Selepas lima hari menimbulkan tanda tanya, penyanyi itu kemudian telah membotakkan kepala sebelum mengumumkan tentang single terbaharunya berjudul Terus Bersinar yang dilancarkan semalam.

Author

Pilihan Editor