HomeGlobalIsrael henti serangan 4 jam setiap hari di Gaza

Israel henti serangan 4 jam setiap hari di Gaza

ISRAEL bersetuju untuk menghentikan serangan selama empat jam setiap hari di utara Gaza bagi membolehkan rakyat Palestin melarikan diri ke kawasan pantai, umum Rumah Putih.

Namun, Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata, tiada peluang untuk gencatan senjata sepenuhnya.

Jurucakap Rumah Putih, John Kirby berkata, gencatan kemanusiaan pertama akan diumumkan pada Khamis, lapor Middle East Monitor.

Beliau berkata, Israel komited dalam mengumumkan penghentian serangan itu sekurang-kurangnya tiga jam sebelum ia berlaku.

“Pihak kami diberitahu oleh Israel tidak akan ada operasi ketenteraan ketika penghentian serangan itu dan proses terbabit akan bermula hari ini (Khamis).

“Kami telah menggesa Israel untuk meminimumkan korban awam dan melakukan apa sahaja untuk mengurangkan jumlah itu,” katanya sambil menambah bahawa langkah itu akan memberi peluang kepada rakyat Palestin untuk melakukan perpindahan ke selatan Gaza selama beberapa jam.

Perjanjian itu dibuat ketika rundingan antara Qatar, Mesir dan AS untuk mencapai gencatan senjata selama tiga hari di Gaza, sebagai pertukaran untuk Pergerakan Pejuang Islam Palestin (Hamas) membebaskan 12 tebusan Israel.

Perjanjian itu akan membolehkan lebih banyak bantuan termasuk jumlah bahan api yang terhad memasuki Genting Gaza.

Sementara itu, Israel berkata, pihaknya tidak bersetuju kepada gencatan senjata, namun akan membenarkan penghentian serangan sementara bagi membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke kawasan tertentu.

“Tiada gencatan senjata, saya ulangi tiada gencatan senjata. Apa yang kami lakukan, penghentian serangan sementara selama empat jam adalah untuk bantuan kemanusiaan,” kata jurucakap rejim Zionis, Richard Hecht.

Author

Pilihan Editor