HomeBeritaJAIS tak pernah halang sekolah baca qunut nazilah

JAIS tak pernah halang sekolah baca qunut nazilah

 

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau pekeliling menghalang sekolah di bawahnya membaca qunut nazilah bagi mendoakan rakyat Palestin yang mempertahankan tanah air mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, JAIS juga tidak menerima apa-apa arahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan larangan membaca qunut nazilah.

“Elakkanlah menimbulkan prasangka dan cubaan yang meresahkan dan memecah belahkan.

“Sebaliknya umat Islam dan bukan Islam perlu disatukan atas nama kemanusiaan dan ukhwah insaniah bagi bantu rakyat Palestin khususnya Gaza dalam malapetaka akibat kekejaman rejim aparteid Zionis Israel,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2024 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, JAIS juga sudah mengeluarkan pekeliling rasmi menyeru semua masjid dan surau di negeri itu agar melaksanakan solat hajat dan qunut nazilah pada rakaat akhir solat Maghrib dan Isyak seawal 26 Oktober lalu.

Dalam pada itu beliau menyambut baik cadangan Pua Pei Ling (PH-Bukit Lanjan) yang menyarankan kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor menyumbang RM5,000 ke dalam tabung kemanusiaan Palestin yang dicadang diwujudkan bagi DUN itu untuk membantu mangsa konflik kemanusiaan di Gaza.

“Kita sambut baik cadangan sumbangan kepada Palestin oleh YB (Yang Berhormat) Bukit Lanjan semalam dan molek sumbangan itu disalurkan kepada tabung rasmi (bawah JAIS) iaitu Tabung Infaq Jariah Umat Islam Selangor (Tijari). InsyaAllah (akan) sampai ke Palestin,” katanya. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor