HomeGlobalJenama Barat terjejas teruk akibat kempen boikot produk Israel

Jenama Barat terjejas teruk akibat kempen boikot produk Israel

KEMPEN boikot produk Israel susulan serangan berterusan ke atas Genting Gaza, sudah pun mejejaskan syarikat gergasi makanan segera Barat di beberapa negara Arab.

Beberapa restoran makanan segera Barat seperti McDonald’s, Starbucks dan KFC mula mendapat momentum khususnya di Mesir, Jordan dan Turkiye.

Malah, langkah boikot itu berpotensi merebak ke negara lain di seluruh dunia.

Syarikat-syarikat yang terjejas dianggap sama ada mengambil sikap pro-Israel ketika perang, didakwa mempunyai hubungan kewangan dengan Israel mahu pun pelaburan di negara haram itu.

“Saya berpendapat, meskipun saya tahu ini (boikot) tidak akan memberi impak besar kepada perang, namun ia adalah perkara yang termampu boleh kita lakukan sebagai warganegara yang berbeza supaya kita tidak rasa tangan kita berlumuran darah (sokong keganasan ke atas penduduk Palestin),” kata Reham Hamed seperti dilapor Press TV.

Reham, 31, merupakan seorang penduduk Kaherah, Mesir yang memboikot rangkaian makanan segera dan produk pembersihan Amerika Syarikat (AS).

Seruan kempen boikot bagi berpuluh-puluh syarikat dan produk itu sudah pun diperluaskan di media sosial, selain menggesa pembeli agar beralih kepada alternatif produk tempatan.

Di Jordan, rakyat yang menyokong kempen boikot itu adakalanya memasuki cawangan McDonald’s dan Starbucks bagi menggalakkan pelanggan memilih produk lain.

“Tiada siapa yang membeli produk ini (Israel),” kata Ahmad Al-Zaro, juruwang di pasar raya besar di Amman.

Tambahnya, rakyat negara itu lebih memilih untuk membeli produk jenama tempatan.

Gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS) produk Israel merupakan kempen digerakkan oleh pro-Palestin terhadap rejim Israel.

BDS diilhamkan gerakan anti aparteid Afrika Selatan, yang menggesa tekanan tanpa kekerasan ke atas Israel sehingga ia mematuhi undang-undang antarabangsa.

Ribuan sukarelawan di seluruh dunia telah menyertai BDS, yang menyeru masyarakat antarabangsa untuk memutuskan hubungan ekonomi, budaya dan akademik dengan Israel seterusnya membantu mempromosikan perjuangan Palestin.

Pergerakan itu berjaya menyebabkan kerosakan ekonomi kepada Israel sehingga kumpulan pro-Israel melabelkannya sebagai satu ancaman.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 14,532 rakyat Palestin termasuk 6,000 kanak-kanak dan 3,920 wanita terkorban manakala lebih 35,000 lagi cedera akibat serangan rejim pengganas Israel sejak 7 Oktober lalu.

Author

Pilihan Editor