HomeBeritaKKM bakal jadikan Malaysia negara 'kurang manis'

KKM bakal jadikan Malaysia negara ‘kurang manis’

CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) bakal melancarkan Pelan Advokasi Gula sebagai inisiatif meningkatkan kesedaran awam berikutan peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD), terutama kencing manis di Malaysia.

Menteri KKM, Dr Zaliha Mustafa berkata, usaha itu akan disasarkan semua lapisan umur dan membabitkan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya ingin memaklumkan, KKM akan melancarkan satu pelan iaitu Pelan Advokasi Gula dalam tempoh terdekat. Ini sebagai satu usaha untuk tangani NCD terutama penyakit kencing manis.

“Pelan ini meliputi semua peringkat umur dan kita mulakan di peringkat kanak-kanak lagi di pra sekolah, sekolah rendah serta universiti awam (UA) dan swasta. Malah, ia turut membabitkan golongan dewasa dan warga emas.

“Turut dibabitkan NGO, persatuan ibu bapa, ketua kampung, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pejabat Parlimen. Jadi saya mohon semua Ahli Parlimen untuk sama-sama jadikan negara kita ‘kurang manis’,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu apakah yang sedang dilaksanakan KKM dalam usaha menangani penyakit kencing manis memandangkan prevalens diabetes negara adalah yang tertinggi di Asia Tenggara.

Tambah beliau, KKM kini berada dalam fasa akhir sesi libat urus bersama persatuan penjaja bagi menggalakkan amalan pemakanan yang sihat secara menyeluruh.

“Contohnya, (kita berbincang dengan) Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya untuk menyediakan pilihan minuman tanpa gula dengan slogan satu sudu teh sudah cukup, kurang lebih baik, tiada (gula) terbaik.

“Ini (inisiatif) yang sangat bagus kerana ada kedai yang kita lihat buka sampai malam, jadi bila dilaksanakan nanti, Insya-Allah ia boleh bantu dari segi advokasi bagi mengurangkan penggunaan gula dalam komuniti negara ini,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor