HomeGlobalKonflik Palestin-Israel: KKM sedia hantar pasukan perubatan apabila dibenarkan

Konflik Palestin-Israel: KKM sedia hantar pasukan perubatan apabila dibenarkan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menghantar pasukan perubatan ke Gaza, Palestin selain telah mengenal pasti pasukan yang boleh dimobilisasikan sebaik sahaja kebenaran diberikan.

Bagaimanapun, menurut KKM, buat masa ini, penghantaran pasukan perubatan belum dapat dilaksanakan kerana tidak dibenarkan ekoran mengambil kira keadaan semasa peperangan yang masih berlaku di Semenanjung Gaza.

“KKM bersedia dan telah mengenal pasti pasukan perubatan yang boleh dimobilisasikan sebaik sahaja kebenaran diberikan.

“Pasukan perubatan itu juga akan didedahkan dengan latihan persediaan yang bersesuaian kerana akan terlibat dalam merawat mangsa-mangsa bencana peperangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

KKM berkata, penghantaran pasukan terbabit akan dibuat menerusi kerjasama Kementerian Luar Negeri dan agensi awam lain serta koordinasi oleh International Red Cresent.

Pada masa sama, KKM menjelaskan, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan di Gaza serta telah mengenal pasti keperluan bantuan kemanusiaan dan perubatan diperlukan.

“Menerusi maklumat disampaikan oleh Gaza-Medics Worldwide, daripada sejumlah 35 buah hospital terdapat di Semenanjung Gaza, satu per tiga telah musnah.

“Sehubungan itu, perlu ada usaha untuk memulih dan menambah baik kemudahan perkhidmatan perubatan di hospital-hospital yang masih beroperasi.

“Penambahan kemudahan itu bertujuan menampung keperluan perkhidmatan yang mendesak dan sangat diperlukan oleh rakyat di Gaza buat masa ini,” jelasnya.

Katanya, KKM turut mengambil langkah menyediakan bantuan kemudahan perubatan untuk dihantar ke Semenanjung Gaza, Palestin.

Katanya, usaha itu dibuat menerusi kerjasama dengan badan-badan bukan Kerajaan dan Kementerian Luar Negeri Malaysia.

“Bantuan tersebut antaranya alat consumable seperti syringe pump, suture, IV cannula, dressings dan bandage selain perkhidmatan neurosurgery dan surgical trauma.

“Ia turut melibatkan kemudahan peralatan seperti ‘medical beds’ dan ubatan yang bersesuaian,” katanya.

Mengulas lanjut, KKM berkata, bantuan kemudahan perubatan pertama dari Malaysia telah dilaksanakan pada 3 November 2023 iaitu sebanyak 20 tan, manakala penerbangan kedua dibuat pada 11 November 2023 juga sebanyak 20 tan.

Jelasnya, KKM juga akan menghantar alat guna habis consumables dan ubat-ubatan dalam siri penghantaran bantuan ketiga dalam tempoh yang terdekat. – Kosmo

Authors

Pilihan Editor