HomeBeritaMahkamah & JenayahPenjara 12 tahun: Rayuan Siti Bainun didengar esok

Penjara 12 tahun: Rayuan Siti Bainun didengar esok

KUALA LUMPUR: Rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali kerana mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini, esok.

Siti Bainun yang kini ditahan di Penjara Kajang, mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun yang diputuskan terhadapnya, enam bulan lalu.

Hasil semakan laman sesawang mahkamah, prosiding akan didengar di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.

Pada 3 Mei lalu, Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi turut mengarahkan Siti Bainun, 31, melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 sebagai tambahan hukuman.

Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Siti Bainun menjalani hukuman penjara serta-merta di Penjara Kajang bermula tarikh disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini di antara Februari dan Jun 2021 sehingga menyebabkan remaja itu cedera fizikal serta emosi.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Siti Bainun sekali lagi membuat rayuan bagi penangguhan hukuman di Mahkamah Tinggi, namun gagal.

Hakim Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Siti Bainun selepas meneliti secara terperinci hujahan dan afidavit yang dikemukakan kedua-dua pihak sebelum ini.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, alasan yang dikemukakan Siti Bainun untuk menangguhkan hukuman penjara antaranya faktor kesihatan, tanggungjawab dan jantina adalah tidak mempunyai merit.

Selanjutnya hakim itu berkata, faktor pemohon merupakan seorang wanita bukanlah suatu keadaan istimewa yang mewajarkan untuknya menangguhkan hukuman penjara. – Utusan

Authors

Pilihan Editor