HomeHiburanPapar gambar tak pakai niqab, Neelofa beri penjelasan

Papar gambar tak pakai niqab, Neelofa beri penjelasan

CYBERJAYA: Gara-gara memuat naik foto tanpa niqab dalam versi teknologi kecerdasan buatan (AI) di Instagram (IG) baru-baru ini, pelbagai reaksi peminat disuarakan terhadap selebriti, Neelofa.

Malah, foto berkenaan turut mengundang rasa tidak senang dalam sebilangan netizen.

Mengulas perkara itu, Lofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor, 34, berpendapat tidak salah baginya berkongsi foto yang dibuat untuk kempen baharu produk tudung keluaran syarikat kerana visual itu hanyalah versi AI, bukan wajah asli.

“Foto AI dipaparkan itu bukan saya, tetapi macam (mirip) saya. Saya baca komen (dalam media sosial) dan pada masa sama, apabila ada yang berpendapat seperti itu, seperti ini… Ingin saya katakan, foto itu bukan saya. Lagipun, saya bukan buat dosa seperti buka hijab atau dedah aurat.

“Foto itu dibuat pasukan saya untuk kempen jenama tudung baharu dan atas keizinan saya. Daripada mereka guna gambar orang lain, lebih baik guna gambar saya,” katanya memetik Berita Harian.

Jelas Lofa, tindakannya itu telahpun mendapat keizinan suami sebelum foto terbabit dimuat naik.

“Sepanjang proses pembikinan foto versi AI ini, saya tunjukkan kepada Haris. Sekali lagi ingin saya tegaskan, tujuan kempen itu bukanlah untuk saya dedahkan aurat. Bukan satu dosa pun buat AI tu,” katanya ditemui pada majlis pelancaran air minuman Moma X Neelofa di Kuala Lumpur, kelmarin.

Mengenai komen netizen yang mendakwa perbuatannya itu seakan ‘bunga-bunga’ untuk dia menanggalkan purdah, penyandang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke- 29 mengharapkan mereka dapat mendoakan yang baik-baik untuknya.

“Walaupun suami saya menyokong dalam perjalanan saya berhijab dan berniqab, tetapi saya sangat bahagia dan gembira dengan diri saya hari ini.

“Insya-Allah, semoga Allah beri saya kekuatan untuk kekal seperti ini. Dengan apa yang saya bawa hari ini, dapat saya buat banyak kebaikan sama ada secara peribadi, sebagai anak dan sebagai ibu,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor