HomeBeritaPengusaha premis hidangkan 'Kopi Joss' boleh didenda, dipenjara - KKM

Pengusaha premis hidangkan ‘Kopi Joss’ boleh didenda, dipenjara – KKM

CYBERJAYA: Penambahan bara arang dalam minuman kopi yang semakin menjadi trend kini adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan boleh didakwa, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM memaklumkan, mana-mana pengusaha premis makanan yang didapati menghidangkan kopi bersama bara arang boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahan.

“Kopi yang sedia diminum dikawal di bawah Peraturan 269A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan peraturan tersebut hanya membenarkan penambahan gula, dekstrosa, glukosa atau madu, susu, krimer, makanan lain dan bahan perisa yang dibenarkan. Arang tidak dikategorikan sebagai makanan,” menurut KKM dalam kenyataan.

Kenyataan itu bagi mengulas laporan Bernama pada 16 November lalu yang melaporkan, trend meminum kopi yang dimasukkan dengan bara arang di sebuah kedai makan, menjadi perdebatan netizen di media sosial, sejak beberapa minggu lalu.

Semuanya gara-gara dakwaan bahawa kopi yang dimasukkan dengan bara arang atau dipanggil “Kopi Joss” di Indonesia itu mempunyai keunikan rasa tersendiri, selain dikatakan merupakan cara untuk menyingkirkan toksin dari dalam badan.

Namun pakar kesihatan melahirkan kebimbangan terhadap tindakan meminum minuman berkenaan kerana boleh mengundang kesan buruk seperti kanser, berikutan sifatnya yang karsinogenik serta kemungkinan usus tersumbat jika diambil secara kerap untuk tempoh masa lama.

Menurut KKM, arang panas (bara arang) yang dimasukkan secara terus ke dalam minuman kopi adalah berbeza dengan arang diaktifkan, yang lazimnya digunakan dalam industri makanan kerana ia sudah diproses dan ditulenkan, sekali gus selamat untuk digunakan.

“Bagaimanapun, arang panas yang dimasukkan secara terus dalam kopi seperti yang ditularkan itu tidak dapat dipastikan, sama ada telah diproses dengan betul atau selamat untuk dimakan atau diminum begitu sahaja kerana kemungkinan terdapat unsur benda asing atau toksik lain.

“Justeru, sebagai langkah pemantauan, siasatan akan dijalankan setelah KKM mendapat maklumat lengkap premis makanan yang ditularkan,” menurut KKM.

KKM juga menyeru orang ramai yang ingin membuat aduan ke atas mana-mana premis makanan yang disyaki tidak mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, supaya berbuat demikian di Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau menghubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

“Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan agar memilih kedai makan atau restoran yang bersih, terutama yang telah mendapat pengiktirafan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) daripada kementerian,” menurut kenyataan itu.

Author

Pilihan Editor