HomeBerita23 penyokong bola sepak ditahan terbabit gaduh, rosakkan kenderaan

23 penyokong bola sepak ditahan terbabit gaduh, rosakkan kenderaan

PETALING JAYA: Seramai 23 individu termasuk remaja ditahan polis selepas disyaki terbabit pergaduhan dan merosakkan kenderaan selepas perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Selangor FC di stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua individu berusia 16 hingga 44 tahun itu ditahan pasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira 5 petang.

“Pasukan polis yang menjaga aman perlawanan bola sepak di MBPJ menahan dua bas yang dipercayai membawa penyokong pasukan bola sepak Perak.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menahan 23 orang disyaki terbabit kejadian memukul lima penyokong pasukan Selangor yang berlaku beberapa minit sebelum itu.

“Salah seorang mangsa mengalami kecederaan patah tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, siasatan mendapati kumpulan itu turut disyaki merosakkan empat kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir bersebelahan stadium.

Katanya, kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 29 November untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun sama serta Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semalam, tular di media sosial gambar dan video berdurasi 44 saat menunjukkan kejadian pergaduhan sekumpulan individu di Stadium MBPJ pada perlawanan antara Selangor FC dan Perak FC.

Dalam rakaman itu turut menunjukkan kenderaan yang rosak akibat pergaduhan berkenaan. – Harian Metro

Author

Pilihan Editor