HomeBeritaSaya tak minum Starbuck, kopi kedai lain lagi sedap – Dr. Mahathir

Saya tak minum Starbuck, kopi kedai lain lagi sedap – Dr. Mahathir

CYBERJAYA: “Saya bersyukur kerana saya tidak minum lagi kopi Starbuck. Saya pergi kedai lain. Rupa-rupanya kopi kedai lain lagi sedap daripada Starbuck,” kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir berkata, beliau menyarankan umat Islam supaya terus memboikot barangan dan produk yang menyokong negara Israel.

Menurutnya, umat Islam boleh membeli dan menggunakan produk lain dan ia adalah satu tindakan yang boleh dilakukan untuk mendera orang Israel di atas kejahatan yang dilakukan.

“Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh masyarakat dunia bagi menghentikan serangan dan kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza,” katanya pada siri Bicara Negarawan bertajuk ‘Masa Depan Palestin: Apa perlu dilakukan? di sini, pada Isnin yang turut menampilkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Katanya, selain derma, masyarakat dunia terutama umat Islam boleh menggunakan kuasa masing-masing dengan memboikot poduk yang menyokong negara haram tersebut.

Dr. Mahathir berkata, umat Islam meliputi seramai 1.7 bilion di seluruh dunia dan jika separuh atau suku daripadanya memboikot, maka ia satu isyarat jelas kepada Israel.

Menurutnya, umat Islam boleh merujuk senarai produk yang menyokong Israel di media sosial sebagai panduan sebelum membeli barangan tersebut.

“Pengguna boleh menggantikan produk yang diboikot dengan barangan tempatan yang tidak kurang hebatnya,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama, sebanyak RM2.42 juta sumbangan berjaya dikumpulkan hari ini yang disumbangkan oleh 59 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Aid4Palestine. – Utusan

Authors

Pilihan Editor