HomeSukanSumareh antara 5 muka baharu teruskan misi Malaysia ke Kelayakan Piala Dunia

Sumareh antara 5 muka baharu teruskan misi Malaysia ke Kelayakan Piala Dunia

SERAMAI lima muka baharu tersenarai dalam skuad Harimau Malaya bagi menghadapi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pertengahan November ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan, keputusan itu diambil oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon bagi memperkuatkan lagi benteng pasukan tersebut.

Lima pemain baharu tersebut adalah penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; pemain pertahanan, Shahrul Saad dan Syahmi Safari; pemain tengah, Afiq Fazail; serta pemain sayap, Mohamadou Sumareh.

Senarai 25 pemain Harimau Malaya dipanggil bagi meneruskan misi Kelayakan Dunia. -Foto: FAM

Selain itu, Pan Gon mengekalkan seramai 20 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi Pestabola Merdeka 2023, Oktober lalu.

Antara muka utama dikekalkan dalam senarai pasukan termasuk Arif Aiman, Syihan Hazmi, Matthew Davies, Corbin Ong, Dion Cools dan Darren Lok.

Sementara itu, 26 pemain lagi diletakkan dalam Senarai Bersedia termasuk Khuzaimi Piee,  Syafiq Ahmad, Natxo Insa, Daniel Ting dan T. Saravanan.

Pada masa sama, Syameer Kutty Abba dan Azam Azih tidak dapat dipanggil berikutan mengalami kecederaan.

Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Kumpulan D menentang Kyrgyzstan pada 16 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selepas aksi bertemu Kyrgyzstan itu, Harimau Malaya akan terbang ke Taipei City bagi perlawanan kedua Kumpulan D menentang Taiwan pada 21 November depan.

Dua lagi pertembungan lain dalam Kumpulan D menyaksikan Oman bertemu Taipei City di Muscat pada 16 November, manakala Kyrgyzstan menanti kunjungan Oman di Bishkek pada 21 November ini.

Author

Pilihan Editor