HomeBeritaViral'Sorry staf McD Malaysia' - Netizen tegar boikot McDonald's lepas Arab Saudi...

‘Sorry staf McD Malaysia’ – Netizen tegar boikot McDonald’s lepas Arab Saudi buat hal?

KEKEJAMAN yang berlaku di genting Gaza hingga meragut lebih 9,000 nyawa, nyata mengudang api kemarahan ramai pihak termasuklah rakyat di negara ini.

Walaupun tidak dapat menyalurkan bantuan secara terus kepada penduduk di Gaza, rata-rata rakyat Malaysia masih utuh menjalankan tanggungjawab selaku saudara sesama Islam dengan melakukan apa sahaja tindakan termasuklah memboikot produk yang menyokong zionis Israel.

Antara produk yang paling terkesan rentetan isu boikot itu adalah McDonald’s yang sebelum ini lazimnya menjadi antara pilihan restoran makanan segera di Malaysia.

Ajakan boikot produk McDonald’s turut menjadi topik hangat di media sosial walaupun umum mengetahui bahawa McDonald’s Malaysia dikendalikan oleh sebuah syarikat operasi tempatan, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd.

Meskipun McDonald’s Malaysia menyatakan bahawa perniagaan mereka telahpun diambil alih oleh Lionhorn Pte. Ltd. di bawah syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi pada 2017, namun kenyataan itu masih tidak berupaya mematahkan semangat sebilangan kelompok tegar memboikot produk berkenaan.

Lebih menjadi perhatian apabila baru-baru ini, seorang wartawan penyiasat, Sulaiman Ahmed, melaporkan Arab Saudi telah meluluskan penempatan sistem pertahanan udara Amerika Syarikat (AS) di dalam sempadannya untuk melindungi Israel daripada ancaman luar.

Kerjasama antara Arab Saudi dan AS dalam menyalur bantuan kepada Israel ini secara tidak langsung membuatkan orang ramai semakin berang lantas nekad memboikot barangan Arab Saudi termasuklah McDonald’s.

Bagaimanapun, tindakan rakyat Malaysia yang memilih untuk boikot produk keluaran McDonald’s itu secara tidak langsung memberi ‘tempias’ kepada lebih 21,000 pekerja syarikat tersebut yang rata-ratanya terdiri daripada anak tempatan dan bekerja demi kelangsungan hidup.

Malah, lebih memilukan apabila ada sebilangan pekerja yang diganggu seperti dipanggil dengan perkataan ‘Yahudi’ dan menerima pelbagai cemuhan hanya kerana berkhidmat di syarikat McDonald’s.

Boikot atau tidak, pilihan di tangan anda.

 

Author

Pilihan Editor