CYBERJAYA: Beberapa hari selepas diumum dipecat sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MKT), Isham Jalil kini mengesahkan tindakan selanjutnya dibuat UMNO ke atasnya.
Isham berkata, surat pemecatannya sebagai Ahli MKT UMNO sudah diberi melalui aplikasi WhatsApp, lewat Jumaat malam.
Beliau turut memberikan salinan surat pemecatan itu kepada media, yang mana surat bertarikh 8 Disember itu ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Ini surat pemecatan saya yang saya terima melalui WhatsApp lewat malam semalam,” katanya dalam mesej ringkas kepada media.
Surat itu antara lain menjelaskan Mesyuarat Majlis Kerja tertinggi UMNO pada 6 Disember memutuskan pemecatan itu, yang berkuatkuasa serta merta mengikut Fasal 10.6 di baca bersama Fasal 5.9 Perlembagaan UMNO kerana tindakan yang melanggar etika ahli.
Khamis lalu, Isham memaklumkan beliau belum menerima sebarang surat pemecatan walaupun sudah disingkirkan daripada kumpulan WhatsApp MKT.
MKT UMNO pada Rabu lalu mengumumkan pemecatan Isham Jalil yang sudah menjawat Ahli MKT bagi penggal kedua.
Isham yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO sebelum ini dipilih sebagai Ahli MKT sebaik berakhir pemilihan parti itu awal tahun ini.
Dengan pemecatan itu, Isham kini sebaris dengan beberapa bekas pemimpin UMNO yang turut dipecat seperti bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
UMNO juga menggantung beberapa pemimpinnya termasuk bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Pemecatan itu dipercayai ada kaitan dengan kelantangan Isham mengkritik UMNO, yang kini bekerjasama dengan DAP selepas UMNO-Barisan Nasional (BN) menyokong Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, pada Selasa lalu, Isham menyatakan kekalahan UMNO-BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman didakwa berpunca daripada segelintir pemimpin parti itu yang bertindak menjadi ‘penjilat’ DAP.
Beliau mendakwa, UMNO terus menerima penolakan orang Melayu kerana parti itu yang seharusnya memperjuangkan Melayu dan Islam, sudah tersasar dan rela menjadi ‘barua DAP’.
Katanya, ada segelintir pemimpin parti itu bertindak ‘lebih DAP daripada DAP’, dengan mempromosikan DAP secara berlebihan sehingga menimbulkan kurang senang dalam kalangan ahli akar umbi.