HomeBeritaNaikkan cukai alkohol, minuman manis galak penduduk sihat

Naikkan cukai alkohol, minuman manis galak penduduk sihat

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan kerajaan semua negara supaya meningkatkan cukai alkohol dan minuman manis kerana terlalu sedikit negara menggunakan insentif itu untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Menurut kajian badan dunia itu terhadap percukaian, purata kadar itu secara global ke atas produk tidak sihat seperti alkohol dan banyak gula adalah rendah, dan peningkatan cukai boleh menghasilkan penduduk yang lebih sihat.

“WHO mengesyorkan cukai eksais yang menyasarkan produk atau perkhidmatan tertentu, perlu dikenakan kepada semua minuman manis bergula (SSB) dan minuman beralkohol,” menurut WHO dalam kenyataan.

Menurut WHO, seramai 2.6 juta orang setahun mati akibat pengambilan minuman beralkohol, manakala lebih lapan juta mati akibat diet tidak sihat.

“Melaksanakan cukai ke atas alkohol dan SSB akan mengurangkan kadar kematian ini,” jelas kenyataan itu.

WHO memaklumkan, peningkatan cukai bukan sahaja membantu mengurangkan penggunaan produk berkenaan tetapi turut memberi insentif kepada syarikat untuk membuat produk yang lebih sihat.

Katanya, walaupun 108 negara mengenakan beberapa cukai ke atas SSB, secara global, cukai eksais secara purata mewakili hanya 6.6 peratus daripada harga minuman soda.

Sementara itu, Pengarah Promosi Kesihatan WHO, Rudiger Krech, berkata peningkatan cukai terhadap produk tidak sihat mewujudkan penduduk yang lebih sihat.

“Ia mempunyai kesan positif merentasi masyarakat iaitu kurang penyakit dan kecacatan serta hasil untuk kerajaan bagi perkhidmatan awam,” katanya.

Katanya, harga minimum yang digabungkan dengan peningkatan cukai, boleh mengekang jualan minuman keras tidak berkualiti dan mengurangkan kemasukan ke hospital berkaitan minuman, kematian, kemalangan dan jenayah.

Menurut WHO, kira-kira 148 negara mengenakan cukai eksais ke atas minuman beralkohol.

“Namun wain dikecualikan daripada cukai eksais di sekurang-kurangnya 22 negara, kebanyakannya di rantau Eropah,” katanya. – Utusan

Authors

Pilihan Editor