KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri tidak pernah mengumumkan cuti peristiwa pada Ahad, susulan kejayaan pasukan Terengganu FC (TFC) melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya menyedari terdapat poster lama yang disunting berhubung cuti peristiwa itu berlegar-legar di media sosial.
Tiada cuti peristiwa diumumkan oleh kerajaan negeri esok (Ahad). Poster yang diedit (disunting) dan dimuat naik melalui pelbagai laman sosial termasuk Facebook (FB) adalah palsu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Sabtu.
Poster mengenai cuti peristiwa di negeri ini dimuat naik pihak tidak bertanggungjawab, selepas TFC melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Jumaat.
Bagaimanapun, TFC hanya muncul naib juara selepas tewas 1-3 kepada JDT.