HomeBeritaMahkamah & JenayahPemandu Bezza dikejar 28 unit peronda polis ada 11 rekod jenayah lampau

Pemandu Bezza dikejar 28 unit peronda polis ada 11 rekod jenayah lampau

PETALING JAYA: Pemandu Perodua Bezza yang melarikan diri dan dikejar 28 unit peronda polis (MPV) sejauh 50 kilometer (km) awal pagi tadi mempunyai 11 rekod jenayah lampau serta satu rekod dikehendaki bersabit kes samun berkumpulan dengan senjata.

Polis menemui peralatan pecah rumah ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kenderaan suspek yang berjaya ditahan di bulatan Taman Tasik Cyberjaya, Sepang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan pemandu kereta itu melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Utara, di sini, pada jam 1.42 pagi.

“Seorang anggota unit rondaan bermotosikal mengalami kecederaan akibat dirempuh ketika cuba menahan kereta berkenaan di Jalan PJS 6/1 Sungei Way.

“Susulan dari itu hebahan bantuan dilakukan dan 28 kereta peronda polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dibantu IPD Sepang, IPD Serdang dan IPD Subang Jaya mengejar kenderaan suspek melalui Lebuhraya Damansara Puchong dan Lebuhraya Baru Pantai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya berjaya menahan kenderaan suspek di bulatan Taman Tasik Cyberjaya, Sepang dan hasil pemeriksaan mendapati pemandu atau suspek adalah seorang lelaki tempatan manakala terdapat seorang penumpang wanita di sebelahnya.

“Pemeriksaan lanjut, kita menjumpai sebilah pisau, satu gunting, satu set sarung tangan, sebuah topi keledar, satu keping kad pengenalan individu lain dan empat keping kad debit,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186, 279, 353 Kanun Keseksaan dan sSeksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu tular video kereta berkenaan dikejar 28 kereta MPV polis yang dirakam daripada pelbagai lokasi oleh orang awam yang melihat aksi polis mengejar suspek. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor