HomeBeritaPolis siasat dakwaan OCS hantar mesej lucah kepada isteri orang

Polis siasat dakwaan OCS hantar mesej lucah kepada isteri orang

PORT DICKSON: Polis masih melakukan siasatan berhubung seorang ketua polis balai (OCS) di daerah ini, yang didakwa mengganggu wanita dengan menghantar mesej berunsur lucah meskipun setakat ini ia didapati tidak benar dan tohmahan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak atau wanita itu berhubung dakwaan berkenaan.

“Kira-kira jam 1.15 tengah hari kelmarin (Isnin), keluar satu kenyataan daripada kumpulan aplikasi Telegram berkenaan seorang individu iaitu Ketua Polis Balai Lukut, yang mengganggu dan menghantar mesej berunsur lucah kepada seorang wanita.

“Siasatan awal mendapati, kenyataan yang dikeluarkan itu tidak benar dan disyaki satu tohmahan yang berniat jahat demi menjatuhkan kredibiliti ketua polis balai itu serta imej pasukan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sejak Isnin, tular satu tangkap layar daripada aplikasi sembang memaparkan perbualan yang didakwa dihantar individu terbabit kepada seorang wanita yang juga dipercayai isteri orang.

Pesanan yang dihantar kira-kira jam 5.30 pagi itu bertanya pakaian dan warna yang dikenakan wanita berkenaan, selain bertanya sama ada tidur dalam keadaan bogel.

Aidi Sham berkata, polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana individu yang dikaitkan dengan insiden terbabit.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan dari sudut tatatertib dan tindakan tegas akan diambil jika didapati adanya perlanggaran disiplin berlaku,” katanya.

Author

Pilihan Editor