HomeBeritaPoster filem mesti dapat kelulusan – PFM

Poster filem mesti dapat kelulusan – PFM

PETALING JAYA: Lembaga Penapisan Filem (LPF) bukan satu-satunya pihak yang perlu dipersalahkan berhubung paparan poster filem Sijjin yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Suhan Pansha, berkata ahli LPF lebih berlembut berkenaan saringan kandungan atau bahan promosi filem dan terbuka sebarang dialog bersama wakil penerbit di Malaysia.

“Memang sepatutnya LPF bertanggungjawab meluluskan bahan promosi seperti poster filem Sijjin yang diperkatakan. Namun, saya berpendapat, mungkin pengedar tidak menghantar poster kepada LPF untuk mendapatkan kelulusan.

“Kita tahu isu berkenaan agama dalam filem memang dipantau ketat LPF. Jadi, mesti dapat kelulusan dahulu. Kalau bahan sudah dihantar namun LPF terlepas pandang, itu lain cerita,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menyentuh mengenai isu babak lucah yang di dalam drama yang tular awal bulan ini, Pansha mempersoalkan peranan stesen televisyen (TV) dalam menapi sebarang kandungan yang ditayangkan kepada masyarakat.

 

“Sepatutnya setiap stesen TV mempunyai jabatan yang akan menapis kandungan di dalam naskhah sebelum disiarkan. Dulu ada, sekarang saya tidak pasti bagaimana.

“Jadi, saya cadangkan agar setiap stesen TV mempunyai seorang pegawai pemantau daripada Lembaga Penapisan Filem sebelum kandungan disiarkan,” katanya.

Terdahulu, pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) meminta pengedar filem Sijjin iaitu GSC untuk menukar poster yang menunjukkan seorang wanita dibaluti dengan kain hitam dengan kalimah Allah.

Poster itu dianggap keterlaluan untuk dijadikan bahan promosi di samping melanggar sensitiviti masyarakat dan mengundang reaksi kurang senang penonton beragama Islam. – Utusan

Authors

Pilihan Editor