HomeBeritaPolitikPihak berkuasa perlu ambil tindakan ke atas Koo Ham - Tuan Ibrahim

Pihak berkuasa perlu ambil tindakan ke atas Koo Ham – Tuan Ibrahim

CYBERJAYA: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap pemimpin DAP, yang dilihat berulang kali menyentuh sensitiviti berkait agama Islam.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, perkara tersebut penting bagi memadam persepsi rakyat bahawa isu kaum, agama dan diraja (3R) hanya ‘terpakai’ kepada pemimpin Perikatan Nasional (PN).

“Namun, sekiranya melibatkan (pemimpin) Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), dan DAP ia disenyapkan.

“Saya melahirkan kebimbangan dengan kenyataan seperti ini yang seolah-olah mendapat restu mereka yang berkehendakkan kelangsungan kuasa.

“PMX perlu lebih tegas untuk menegur DAP supaya menghentikan terus tindakan mereka dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tangkap layar hantaran Tuan Ibrahim di laman Facebook.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam, bertujuan membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Susulan itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam, agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Koo Ham kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataannya, sambil menjelaskan beliau tidak berniat untuk mencampuri hal ehwal Islam.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, rakyat sudah pun mengenali sikap pemimpin DAP yang tidak pernah diam untuk menyentuh dan mencampuri urusan umat Islam.

Walhal, katanya, kenyataan sensitif sedemikian tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Ahli Jawatankuasa DAP Pusat.

“Perlu diingat, Koo Ham juga pernah bercakap dalam Parlimen tahun ini berkenaan perkahwinan antara orang Islam dengan bukan Islam di luar negara.

“Lebih celupar lagi, beliau juga pernah menggesa mana-mana pihak supaya menghormati dan tidak mempertikaikan hak orang Islam yang murtad pada tahun 2014 lalu,” katanya.

Author

Pilihan Editor