HomeBeritaMahkamah & JenayahRemaja cuba samun, tikam pemandu Grab akan didakwa Ahad

Remaja cuba samun, tikam pemandu Grab akan didakwa Ahad

CYBERJAYA: Remaja berusia 13 tahun yang dipercayai cuba menyamun dan menikam pemandu e-hailing di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah Isnin lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memaklumkan, pertuduhan ke atas remaja lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan itu adalah atas kesalahan cubaan merompak.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN), Khamis lalu dan arahan beliau remaja itu dituduh di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

“Remaja lelaki berusia 13 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Sungai Petani,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, pemandu Grab berusia 65 tahun telah menerima pesanan daripada suspek untuk mengambil di Lorong Taman Keladi 12 dan dihantar ke Lorong Astana 9/7, Bandar Sri Astana.

Semasa dalam perjalanan, suspek telah meminta untuk meminjam wang sebanyak RM50 dari pengadu iaitu pemandu Grab berkenaan untuk membayar sewa rumah.

Remaja 13 tahun itu kemudiannya didakwa mengacukan sebilah pisau ke dada kiri pemandu Grab berkenaan dan cuba merampas wang daripada poket pemandu itu.

Pengadu sempat merampas pisau serta mengigit tangan untuk mempertahankan diri sebelum suspek melarikan diri.

Namun, remaja itu berjaya ditahan polis jam 10 malam susulan laporan dibuat warga emas itu pada jam 8 malam, hari kejadian.

Remaja tersebut kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis, Rabu lalu.

Tindakan remaja terbabit dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashboard) yang dipasang pada kereta pemandu e-hailing terbabit, manakala video berdurasi satu minit 32 saat itu tular di media sosial.

Author

Pilihan Editor