HomeGlobalSuhu panas melampau landa Sydney

Suhu panas melampau landa Sydney

SYDNEY: Suhu di New South Wales dilaporkan melonjak melebihi 43 darjah Celsius kelmarin sehingga mencetuskan kebakaran belukar di seluruh negeri.

Keadaan itu berlaku ketika Taufan Jasper diramal bakal merentasi luar pantai Queensland.

Lapor The Guardian, bacaan suhu di lapangan terbang Sydney dan Badgerys Creek mencecah 43 darjah Celsius manakala di Sydney Olympic Park pula memuncak pada 42.5 darjah Celsius.

“Suhu Penrith dilaporkan berada pada 42.9 darjah Celsius kira-kira pukul 4 petang,” jelas laporan.

Selain itu, amaran ribut petir yang teruk dikeluarkan di beberapa bahagian pantai selatan dan Snowy Mountains pada petang kelmarin, dengan angin kencang dan hujan batu diramal berlaku.

Dalam pada itu, Perkhidmatan Bomba Luar Bandar New South Wales mengesahkan terdapat 85 kes kebakaran belukar dan rumput berlaku di seluruh negeri.

Jelasnya, daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes kebakaran tidak dapat dikawal.

Menurut agensi itu, larangan kebakaran menyeluruh dilaksanakan di kebanyakan kawasan.

Gelombang haba yang berlaku ketika ini turut memberi amaran kepada 100,000 peminat muzik yang menuju ke Sydney Olympic Park untuk menyaksikan persembahan Foo Fighters dan 50 Cent, selain menghadiri festival muzik Epik.

Sehubungan itu, penganjur Epik, HSU Events menggesa para pengunjung untuk kekal hidrat dan mengambil langkah berjaga-jaga ketika suhu di tapak festival muzik melebihi 40 darjah Celsius.

Dilaporkan, Sabtu lalu, menjadi hari paling panas ketika gelombang haba melanda New South Wales. Utusan memetik AGENSI

Authors

Pilihan Editor