HomeBeritaPolitikTinggalkan DAP jika Amanah mahu kerjasama dengan PAS

Tinggalkan DAP jika Amanah mahu kerjasama dengan PAS

CYBERJAYA: Parti Amanah Negara (Amanah) perlu meninggalkan sekutunya, DAP sekiranya mahu menjalinkan kerjasama dengan PAS.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, parti itu terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan Amanah mengikut syarat tersebut.

Beliau berkata, tidak sesuai bagi PAS untuk menerima Amanah sekiranya parti itu masih bersama dengan DAP. 

“Terima kasih kerana dia buka pintu untuk kerjasama dengan PAS cuma kalau dia meletak syarat, rasanya kita pun boleh letak syarat bahawa kita sedia bekerjasama tapi Amanah kena tinggalkan DAP. 

“Selagi dia duduk bersama DAP, tidak begitu sesuai untuk PAS terima Amanah dalam pakatan itu,” katanya seperti dilapor FMT.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh berkata, parti tersebut tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjalinkan kerjasama sekiranya ia memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara. 

Nuridah turut menepis dakwaan bahawa parti itu mempergunakan agama, sebaliknya ia menjadi panduan PAS. 

“Jika sesuatu perkara tidak bertentanngan dengannya, tiada masalah bagi PAS untuk berbincang dan bermuafakat.

“Nak kata PAS tunggang agama terserahlah, kerana cara hidup beragama tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden Amanah, Adly Zahari berkata, parti itu sedia bekerjasama dengan PAS dalam Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat. 

Beliau berkata, meskipun PAS merupakan parti lawan, Amanah tidak lagi menganggapnya sebagai seteru.

Namun begitu, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, PAS perlu mengikis naratif 3R (kaum, agama, raja) yang dibawanya agar kestabilan politik dan masa depan negara tidak tergugat.

Author

Pilihan Editor