HomeBeritaPolitikZahid Hamidi umpama nakhoda sedang membawa kapal untuk karam - Ahmad Fadhli

Zahid Hamidi umpama nakhoda sedang membawa kapal untuk karam – Ahmad Fadhli

KUALA LUMPUR: PAS hari ini membalas kritikan pemimpin utama UMNO dengan menyifatkan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai nakhoda yang sedang membawa ‘kapalnya’ karam.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menegaskan yang PAS akan terus berusaha menyelamatkan pemimpin dan ahli UMNO dari terus karam.

“Saya sifatkan Presiden UMNO ialah nakhoda gagal yang sedang membawa kapalnya karam. Sayangnya, ‘anak-anak kapal’ sekelilingnya tiada yang berani menegur, bahkan hanya berperanan menjadi tukang ampu, sedangkan sangat jelas kapal yang sedang dinaiki karam sedikit demi sedikit.

“PAS akan terus berusaha menyelamatkan pemimpin dan ahli UMNO dari terus karam. Sama ada menyelamatkan kapal UMNO atau menjemput mereka menyertai kapal yang lain. Perpaduan ummah tidak pernah akan bernoktah usahanya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, biarlah Presiden UMNO itu menyatakan PAS ‘gila talak’, hakikatnya yang ‘gila talak’ inilah yang menang lebih besar berbanding yang sedang mengata nista.

Realitinya kata beliau, posisi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pun gagal dimanfaatkan Ahmad Zahid untuk memikat undi masyarakat luar bandar, khususnya orang-orang Melayu.

“Satu-satunya ‘kejayaan paling besar’ Ahmad Zahid ialah menyelamatkan dirinya dari terus didakwa atas 47 pertuduhan jenayah walaupun harganya ialah kerajaan Malaysia menghadapi kecaman dari dalam dan luar negara. Sayangnya yang berdegar-degar melaungkan agenda reformasi itulah yang sedang menjulang agenda menyelamatkan Ahmad Zahid.

“Jika Ronin 47 ialah kisah sekumpulan samurai yang sanggup berkorban demi harga diri dan maruah mereka, maka Zahid 47 ialah kisah seorang tokoh yang sanggup menenggelamkan bahtera perjuangannya sendiri. Benar atau tidak, tunggulah saja,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Ahmad Zahid menyifatkan PAS sebagai ‘gila talak’ apabila parti itu tidak menolak untuk kembali bekerjasama dengan UMNO.

Bagaimanapun, Presiden UMNO itu berkata, pihaknya belum terbuka hati untuk kembali menjalinkan kerjasama dengan PAS.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilapor tidak menolak kerjasama dengan UMNO di sebalik sejarah ‘pahit’ hubungan mereka. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor