HomeBeritaMahkamah & JenayahAnak komplot dengan rakan 'scam' duit ibu RM25,000

Anak komplot dengan rakan ‘scam’ duit ibu RM25,000

ALOR GAJAH: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun tergamak menipu ibu sendiri kononnya ditahan polis dan memerlukan RM25,000 untuk melepaskan dirinya selepas menghilangkan diri dari rumah pada November lalu.

Lebih menyedihkan, wang berkenaan adalah hasil simpanan Tabung Haji wanita berusia 58 tahun itu yang diserahkan kepada rakan anaknya berusia 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian bermula apabila wanita berkenaan mendapati anaknya tiada di rumah mereka di Masjid Tanah pada 27 November lalu.

“Selepas beberapa hari menunggu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu klinik berjumpa dengan rakan anak tunggalnya itu dikenali Acap.

“Remaja berusia 17 tahun itu memberitahu anaknya telah ditahan dan memerlukan wang untuk dilepaskan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, pengadu kemudian ke Tabung Haji cawangan Masjid Tanah pada 29 November lalu dan mengeluarkan wang berjumlah RM25,000 sebelum menyerahkannya secara tunai kepada Acap yang juga rakan sekolah anaknya.

Arshad berkata, pengadu kemudian membuat semakan di Balai Polis Seremban dan terkejut apabila mendapati tiada sebarang tangkapan dibuat atas nama anaknya.

“Ketika itulah baru wanita berkenaan menyedari dia kemungkinan menjadi mangsa penipuan Acap.

“Bertindak hasil maklumat, kita berjaya menahan ketiga-tiga suspek termasuk anaknya yang dipercayai bersubahat dengan Acap dan seorang lelaki berusia 29 tahun,” ujarnya.

Kesemua suspek akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Author

Pilihan Editor