HomeBeritaBatal lesen perniagaan jika sewa premis kepada warga asing

Batal lesen perniagaan jika sewa premis kepada warga asing

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi jaminan akan membatalkan lesen serta-merta sekiranya pemilik menyalahgunakan dengan menyewa premis perniagaan mereka kepada warga asing.

Menteri, Nga Kor Ming, berkata kerajaan sentiasa konsisten untuk membela keselamatan dan kesejahteraan masyarakat tempatan.

Berikutan itu, katanya KPKT menerusi PBT menegaskan agensi itu tidak pernah sesekali mengeluarkan sebarang lesen kepada warga asing untuk membuka premis perniagaan di negara ini.

“Dalam hal ini (premis yang disewa warga asing) tindakan undang-undang sedang dilakukan melalui operasi penguatkuasaan dijalankan.

“Apabila kita (KPKT) syaki berlaku salah guna premis atau salah lesen dikeluarkan PBT maka lesen terbabit akan dibatalkan.

“Jangan lupa salah satu prinsip rukun negara iaitu kita kedaulatan undang-undang,” katanya kepada pemberita ketika ditanya berhubung isu premis perniagaan yang disewa kepada warga asing.

Beliau sebelum itu ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Rekabentuk Pembinaan Pasar Awam Bukit Mertajam di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), di sini, hari ini.

Untuk rekod, PBT telah melaksanakan sebanyak 1,539 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan membabitkan warga asing bagi tahun 2022 hingga 31 Oktober lalu.

Sehingga kini, sebanyak 26,108 lesen peniaga telah dibatalkan atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen atau premis yang dibuat oleh PBT.

Dalam pada itu, KPKT juga bersedia dan akan memberi kerjasama yang padu dengan kementerian lain bagi tujuan turun padang sebagai usaha mengekang penularan masalah perniagaan secara haram oleh warga asing.

Terdahulu, Kor Ming pada sidang Parlimen memaklumkan, PBT tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

“UUK Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian ini menggariskan bahawa kelulusan sewaan tapak pasar awam dan pengeluaran lesen hanya diberikan kepada warga Malaysia saja dan warga asing yang bekerja dengan penyewa tapak pasar awam itu mestilah mempunyai pas kerja sah.

“Bagi penyewa yang menyewakan tapak kepada warga asing, PBT tidak boleh berkompromi dan sewajarnya mengambil tindakan tegas dengan menarik semula sewaan tapak serta lesen perniagaan dibatalkan,” katanya. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor