HomeBeritaMahkamah & Jenayah3 lelaki ditahan bergaduh ketika perlawanan bola sepak di Butterworth

3 lelaki ditahan bergaduh ketika perlawanan bola sepak di Butterworth

BUTTERWORTH: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan ketika perlawanan bola sepak, melibatkan beberapa kelab di negeri ini dekat Padang St Mark, di sini pada Ahad lalu.

Menurut pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Noor Salawati Saad, ketiga-tiga suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan, selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berhubung kejadian di Balai Polis Butterworth.

Siti Noor Salawati berkata, hasil siasatan mendapati, pergaduhan berpunca daripada perasaan tidak puas hati dengan keputusan pengadil serta beberapa provokasi antara penyokong.

Beliau berkata, polis sedang giat mengesan beberapa lagi individu lain yang dipercayai terlibat dengan kejadian.

Katanya lagi, seorang daripada suspek didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah, manakala kes sedang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

“Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nursyahirah Sarahani di talian 04-5762222 sambungan 2275, atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Orang ramai juga diminta untuk tidak menyebarkan video kejadian tersebut dan mensensasikannya, sehingga menimbulkan persepsi yang boleh menganggu ketenteraman awam.

Sejak Isnin, video tular berdurasi 21 saat memaparkan sekumpulan individu melakukan pergaduhan ketika sedang bermain bola sepak di sebuah padang di sini.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika kejohanan bola sepak peringkat liga kawasan Bagan, manakala pergaduhan berjaya dileraikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.

 

Author

Pilihan Editor