HomeBeritaAnggota tentera antara 1,074 ditahan kes dadah

Anggota tentera antara 1,074 ditahan kes dadah

KOTA BHARU: Seramai 1,074 individu termasuk anggota tentera ditahan menerusi Operasi Tapis Khas (OTK) dan Ops Tapis Bersepadu Sempadan yang dijalankan di seluruh negeri Kelantan selama 10 hari.

Operasi yang berakhir pada Rabu itu menyaksikan tangkapan individu masing-masing berusia antara 15 hingga 65 tahun dan terdiri daripada 1,058 lelaki serta 16 perempuan.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, dua lelaki ditahan di dalam sebuah kereta jenis Nissan Almera, menerusi operasi yang dilaksanakan sepasukan anggota dari Balai Polis Kuala Balah, Jeli pada sekitar jam 2.30 pagi Isnin.

Beliau berkata, salah seorang yang ditahan itu merupakan anggota tentera berusia 26 tahun ketika kereta mereka sedang berhenti di tepi jalan Kampung Relak, Kuala Balah.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas beg silang milik penjawat awam itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah jenis syabu seberat 2.72 gram(g) pil yaba (1.72 g), pil erimin 5 (4.25 g) dan pil epam (2.27 g),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Muhamad Zaki berkata, kesemua rampasan dadah terbabit bernilai RM600, manakala ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, salah seorang suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki berkata, pelbagai jenis dadah berjaya dirampas dengan nilai anggaran RM192,114 sepanjang operasi tersebut.

“Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 16,615 orang penagih dadah,” jelasnya.

Author

Pilihan Editor