HANYA kerana merajuk dengan bapa, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bertindak membuat laporan di balai polis kerana beranggapan bapanya lebih menyayangi kakaknya.
Malah, kanak-kanak dari wilayah Hunan di selatan China itu telah membuat lapan kali laporan polis dalam tempoh setahun, lapor South China Morning Post.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut sanggup berjalan sejauh satu kilometer (km) dari rumahnya ke balai polis terdekat untuk membuat aduan setiap kali dia berasa tidak diendahkan bapanya.
Laporan sama turut menyatakan bahawa kanak-kanak berkenaan mengeluh pada anggota polis beruniform dalam keadaan menangis dan marah.
Bapa kanak-kanak tersebut turut tampil ke balai polis untuk memujuknya namun anak kecil itu enggan memberi kerjasama kerana begitu kecewa dengan bapanya.
Berdasarkan penjelasan ibu bapa kanak-kanak terbabit, mereka mengakui terlalu sibuk bekerja sehingga mungkin tidak memberi perhatian terhadap perasaan anak lelaki mereka itu.
Bagaimanapun, kemarahan kanak-kanak berkenaan berjaya dileraikan dengan campur tangan pihak polis.