HomeGlobalBudak perempuan maut tertimbus dalam lubang pasir pantai

Budak perempuan maut tertimbus dalam lubang pasir pantai

 

SEORANG budak perempuan maut selepas lubang yang digalinya di pantai Florida runtuh lalu menimbusnya dan seorang lagi kanak-kanak yang membantunya pada Selasa.

Kanak-kanak perempuan itu bersama seorang budak lelaki yang dipercayai berusia sekitar 7 tahun, menggali lubang sedalam 5 hingga 6 kaki di sebuah pantai di Lauderdale-by-the-Sea di Fort Lauderdale pada kira-kira jam 3 petang sebelum kejadian malang itu berlaku, lapor New York Post, memetik NBC Miami.

Timbunan pasir itu menimbus budak perempuan itu sepenuhnya, manakala budak lelaki itu tertimbus hingga ke paras dadanya.

“Ia satu kemalangan yang tak diduga,” kata jurucakap Penyelamat Bomba Pantai Pompano, Sandra King kepada Miami Herald.

Anggota bomba menggunakan penyodok dan papan untuk mengeluarkan pasir dari lubang supaya mereka boleh mencapai gadis yang terperangkap semasa operasi menyelamat itu, King memberitahu saluran itu.

King berkata, kanak-kanak perempuan sudah tidak bernafas ketika penyelamat mengeluarkannya.

Paramedik cuba memulihkan budak perempuan itu semasa mereka membawa dia dan budak lelaki itu ke Pusat Perubatan Kesihatan Broward.

Kanak-kanak perempuan itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba ke pusat perubatan itu, kata King kepada Miami Herald.

“Kami menjalankan teknik menyelamatkan nyawa untuk cuba mengembalikan nadinya, tetapi dia tidak kembali pulih, dan dia disahkan meninggal dunia di hospital,” kata King.

Budak lelaki itu berada dalam keadaan stabil.

Tidak jelas sama ada kanak-kanak perempuan itu adalah penduduk tempatan atau pelancong yang berkunjung ke pantai. Identiti mereka kini dirahsiakan kerana faktor usia mangsa.

Seorang saksi berkongsi video menunjukkan budak lelaki itu dibawa pergi oleh penyelamat pertama selepas ditarik keluar dari lubang pasir ketika orang lain berusaha untuk mendapatkan budak perempuan itu, kata NBC Miami.

Berapa lama budak perempuan itu tertimbus di dalam pasir sebelum dia ditarik keluar masih tidak diketahui.

Kanak-kanak itu dilaporkan menggali lubang itu bersama beberapa orang dewasa sebelum ia runtuh.

Siasatan mengenai bagaimana runtuhan maut itu berlaku sedang dilakukan, kata pegawai.

Author

Pilihan Editor