HomeBeritaCuepacs gesa kerajaan percepat naikkan gaji penjawat awam

Cuepacs gesa kerajaan percepat naikkan gaji penjawat awam

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) terus menggesa kerajaan menyegerakan kenaikan gaji penjawat awam berikutan kedudukan gaji semasa tidak lagi sepadan dengan kos sara hidup tinggi.

Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat menegaskan ramai kalangan penjawat awam tidak lagi mampu menghadapi kos sara hidup tinggi seperti ditanggung ketika ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memaklumkan laporan akhir Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka selesai dalam tempoh dua bulan dan beliau menyatakan tidak mahu melengah-lengahkan lagi pelaksanaannya.

“Justeru, Cuepacs berharap komitmen yang dinyatakan oleh Perdana Menteri mampu ditunaikan segera dan tidak berlanjutan sehingga ke tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

Dalam pada itu, Adnan merakamkan ucapan terima kasih Cuepacs kepada kerajaan kerana menyalurkan Bayaran Insentif Awal Kajian SSPA sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam pada hari ini.

Katanya, bayaran insentif awal itu disalurkan kerajaan sementara menunggu Kajian SSPA dimuktamadkan.

“Pemberian insentif ini sudah tentu memberikan kelegaan kepada penjawat awam terutama dalam membuat persediaan membeli kelengkapan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan.

“Ini kerana minggu sesi pembukaan sekolah dan sambutan Ramadan yang serentak sudah pasti menimbulkan kegusaran mengenai kos perbelanjaan yang dijangka lebih tinggi.

“Sudah pasti ramai tidak sempat untuk membuat simpanan mencukupi apatah lagi pada bulan berikutnya sambutan Aidilfitri akan diraikan,” katanya.

Adnan turut menasihatkan penjawat awam supaya berbelanja secara berhemah dengan mengutamakan keperluan sepatutnya.

 

Author

Pilihan Editor