HomeBeritaMahkamah & JenayahKetua Ayahanda Harimau Kumbang, empat pengikut didakwa

Ketua Ayahanda Harimau Kumbang, empat pengikut didakwa

 

DUNGUN: Dua beranak bersama tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan mengurus dan menganggotai pertubuhan haram.

Semua mereka mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, Husin Hassan, 40, didakwa mengurus dan mengambil bahagian dalam pertubuhan haram (Pertubuhan Kebajikan Selendang Merah Harimau Kumbang) di Kampung Sura Jeti Dungun, jam 1.40 pagi pada 20 Januari 2023.

Husin yang didakwa mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966 berdepan hukuman penjara hingga lima tahun dan denda RM15,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan, lapor Berita Harian.

Bagi pertuduhan kedua, Husin didakwa mengikut Seksyen 6 (2) akta sama kerana mengambil bahagian dalam pertubuhan kebajikan berkenaan tanpa kebenaran bertulis yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) Akta sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, anak Husin iaitu Muhammad Aieril Amirul, 20, didakwa menganggotai pertubuhan haram berkenaan di Kampung Sura Hujung, Dungun, jam 3.15 pagi pada 20 Januari 2023.

Bagi kesalahan itu, dia yang didakwa mengikut Seksyen 43 akta sama berdepan hukuman penjara hingga tiga tahun dan denda RM5,000, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh iaitu adik kepada Husin, Mohamad Hassan, 39, yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 43 akta sama didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Bunga Raya Dungun, jam 1.45 pagi pada 20 Januari 2023.

Dua lagi tertuduh iaitu Mohd Syamin Abdul Rahim, 39, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 6(3) dan Seksyen 43 akta sama, manakala Hilmy Ibrahim, 50, yang juga pemandu ambulans didakwa mengikut Seksyen 43 akta sama.

Mohd Syamin didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Che Lijah, Dungun, jam 1.50 pagi pada 20 Januari 2023, manakala Hilmy didakwa melakukan kesalahan terbabit di perumahan awan kos rendah Kampung Alur Jambu Kuala Terengganu pada 20 Januari, kira-kira jam 2.30 pagi.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kesemua tertuduh direkodkan, mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM3,000 hingga RM9,000.

Mahkamah kemudiannya menetapkan pada 18 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amalina Najwa Mohd Ali, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Sukri Mohamed dan Nohabibah Norulalzahar.

Author

Pilihan Editor