HomeTeknologiApple hentikan projek kenderaan elektrik pandu sendiri

Apple hentikan projek kenderaan elektrik pandu sendiri

 

APPLE dilaporkan membatalkan rancangannya untuk membina kenderaan elektrik (EV) sedekad selepas pembuat iPhone itu dikhabarkan akan mengusahakan projek itu.

Firma itu tidak pernah secara terbuka mengakui tentang projek itu, yang melibatkan kira-kira 2,000 orang.

Ramai pekerja daripada projek itu akan dipindahkan ke bahagian kecerdasan buatan (AI) syarikat pengeluar iPhone itu, menurut Bloomberg News.

Apple tidak menjawab permintaan BBC untuk mendapatkan komen.

Pasukan kereta Apple dilaporkan dikenali sebagai Kumpulan Projek Khas sebagai sebahagian daripada Projek Titan Ketua Eksekutifnya, Tim Cook.

Syarikat yang membelanjakan berbilion dolar untuk penyelidikan dan pembangunan itu pada mulanya dikhabarkan akan mengusahakan kenderaan autonomi sepenuhnya tanpa stereng dan pedal.

Difahamkan, pasukan itu masih beberapa tahun lagi untuk menghasilkan kenderaan.

Firma itu telah meneroka peluang lain selain iPhone dan komputer, termasuk alat dengar realiti maya Vision Pro yang dilancarkan baru-baru ini.

Permintaan untuk EV perlahan beberapa bulan kebelakangan ini kerana kos pinjaman kekal tinggi, menjadikan pasaran semakin kompetitif apabila pemain utama bersaing untuk mendapatkan pelanggan.

Bulan lalu, pembuat kereta elektrik Tesla memberi amaran bahawa pertumbuhan jualannya akan lebih lemah tahun ini berbanding 2023.

Syarikat itu, yang diterajui oleh bilionair Elon Musk, telah mengurangkan harga di pasaran utama di seluruh dunia, termasuk Eropah dan China, kerana ia menghadapi persaingan sengit daripada pesaing China seperti BYD.

Di platform media sosial X, Musk memberi reaksi emoji tabik hormat dan sebatang rokok kepada laporan mengenai projek Apple dihentikan itu.

Author

Pilihan Editor