HomeBeritaLagi kes kanak-kanak maut tertinggal di dalam kereta

Lagi kes kanak-kanak maut tertinggal di dalam kereta

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan meninggal dunia, selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta di parkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam, di sini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pegawai perubatan hospital berkenaan pada jam 8.01 malam hari yang sama.

“Semasa ditinggalkan mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu kanak-kanak itu berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital hanya menyedari kejadian terbabit, selepas dihubungi suaminya pada 6 petang.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, bedah siasat sudah dijalankan pada jam 2 petang Rabu, manakala punca kematian belum diperoleh kerana masih menunggu analisis makmal.

Mohd Iqbal berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam kereta selepas diambil dari sebuah taska berdekatan sekitar jam 2 petang.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid di talian 013-6544996.

Author

Pilihan Editor