HomeBeritaLari pemeriksaan JPJ, pemandu Proton Wira diburu

Lari pemeriksaan JPJ, pemandu Proton Wira diburu

KUALA LANGAT: Polis memburu seorang lelaki yang bertindak melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Telok Panglima Garang, dekat Banting, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, pengadu yang bekerja sebagai penguat kuasa JPJ sedang melakukan tugas rondaan bersama rakan sepasukannya.

Tidak beberapa lama kemudian, katanya, pengadu berusia 39 tahun itu terserempak dengan sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di Jalan Klang-Banting.

“Pengadu telah menyalakan lampu mata arah dan mengarahkan untuk berhenti, namun suspek sebaliknya bertindak melarikan diri sebelum dikejar oleh pengadu.

“Namun, kereta yang dinaiki suspek telah terhenti selepas terlibat dalam kesesakan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ahmad Ridhwan berkata, suspek kemudian bertindak mengundur kenderaannya sehingga mengakibatkan pelanggaran dengan kereta JPJ serta dua buah kereta milik orang awam.

Jelasnya, suspek bagaimanapun masih cuba melarikan diri dengan kenderaannya, namun usahanya gagal selepas Proton Wira itu terhenti di hadapan sebuah sekolah akibat mengalami kerosakan.

“Berikutan itu, pengadu telah berjaya berhenti di sebelah kanan kereta suspek dan membuka pintu lalu mengambil kunci.

“Namun, suspek berjaya meloloskan diri melalui pintu sebelah kiri dan menghala ke arah kawasan perumahan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah penjawat awam.

Author

Pilihan Editor