TEMERLOH: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mencederakan ibu dan anak saudara perempuannya, di hadapan sebuah rumah dekat Mentakab, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, lelaki berusia 52 tahun itu cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal selepas kejadian pada jam 4.30 petang Sabtu.
Namun, beliau berkata, suspek kemudian berjaya diberkas berhampiran rumahnya pada Ahad pagi.
“Suspek yang tidak bekerja dipercayai memukul tangan kanan anak saudaranya menggunakan penyapu ketika mangsa datang ke rumah itu bersama ibu suspek dan seorang wanita Indonesia untuk membersihkan rumah.
“Tindakan suspek menyebabkan mangsa keluar dari rumah, namun suspek didakwa mengikut mangsa sebelum memukulnya di belakang kepala dan badan menggunakan topi keledar di hadapan rumah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mazlan berkata, ibu suspek yang berusia 77 tahun cuba membantu mangsa yang berusia 31 tahun dengan memukul suspek menggunakan penyapu, namun lelaki itu dikatakan merentap penyapu itu yang kemudiannya digunakan untuk memukul muka ibunya.
“Kejadian menyebabkan ibu suspek cedera di muka, manakala anak saudaranya cedera di tangan, bahu kanan serta belakang kepala,” katanya.
Mazlan berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu tinggal di rumah berkenaan, selepas ibunya keluar dan menetap di rumah anaknya yang lain di taman perumahan berhampiran.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif kejadian, manakala siasatan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.