HomeBeritaMahkamah & JenayahPemandu lori maut ditetak di kedai kopi

Pemandu lori maut ditetak di kedai kopi

KULIM: Seorang pemandu lori maut, selepas dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam dalam kejadian di sebuah kedai kopi di Taman Damai, dekat Padang Serai, di sini pada Ahad.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Safuan Md Noor, mangsa yang berusia 27 tahun itu diserang oleh dua lelaki bersenjatakan parang dan sabit pada kira-kira jam 1.20 tengah hari.

“Mangsa telah dikejar oleh kedua-dua suspek dari luar kedai. Mangsa yang cuba menyelamatkan diri dengan memasuki sebuah kedai kopi bagaimanapun telah ditetak sehingga rebah, sebelum meninggal dunia di dalam kedai kopi berkenaan.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di tangan, dada, belakang badan dan muka akibat kesan serangan menggunakan senjata tajam itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan kedua-dua suspek masih dijalankan.

Katanya, kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Asisten Superintenden Azmirul Abd Aziz di talian 019-4446 521 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di talian 04-4906 222.

Author

Pilihan Editor