HomeBeritaMahkamah & JenayahWanita rugi RM181,650 ditipu sindiket penghantaran barang

Wanita rugi RM181,650 ditipu sindiket penghantaran barang

 

TAIPING: Seorang wanita berusia 55 tahun di sini kerugian RM181,650 setelah diperdaya sindiket penghantaran barang dan penyamaran sebagai pihak polis dengan menggunakan modus operandi ‘phone-scam’.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pada 21 Februari lalu kira-kira pukul 2.08 petang, semasa berada di rumah mangsa menerima panggilan daripada suspek pertama iaitu seorang wanita yang mengaku sebagai pekerja syarikat penghantaran dari Kuantan, Pahang.

Beliau berkata, suspek pertama telah memberitahu mangsa bahawa dia telah menghantar barang ke Kuantan dan didapati dalam bungkusan tersebut mengandungi tiga kad pengenalan, tiga pasport dan dua kad mesin pengeluaran wang (ATM).

“Selepas itu, mangsa memberitahu dia tidak pernah membuat pengeposan atau penghantaran barang-barang tersebut ke Kuantan, Pahang.

“Pada hari yang sama, lebih kurang 2.13 petang, mangsa menerima panggilan kedua daripada suspek kedua iaitu lelaki yang mengakui sebagai seorang pekerja daripada syarikat penghantaran di Kuantan, Pahang.

“Suspek kedua kemudiannya telah menyambung panggilan telefon pengadu ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang. Suspek menyatakan dia telah membuat laporan polis dan meminta mangsa menyemak semula laporan tersebut melalui pesanan WhatsApp,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, lapor Kosmo!.

Mohd. Yusri berkata, sejurus selepas itu, mangsa telah menerima panggilan video daripada WhatsApp dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Chong iaitu suspek ketiga.

Beliau berkata, suspek ketiga dalam panggilan tersebut ingin mengambil keterangan mangsa mengenai laporan tersebut.

“Seterusnya, suspek ketiga memberitahu bahawa mangsa ada terlibat dengan pengubahan wang haram dengan pengurus Public Bank Taiping yang bernama Tan Wai Lun dan menyatakan mangsa telah menjual akaun bank milik pengadu kepada Tan Wai Lun untuk urusan pengubahan haram tersebut dengan harga RM150,000.

“Akan tetapi mangsa menafikan pernah menjual mana-mana akaun bank miliknya kepada sesiapa dan tidak pernah menerima wang daripada mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata, suspek ketiga memberitahu sekiranya mangsa mahu menyelesaikan kes tersebut mangsa diminta berhubung dengan Datuk Yong (suspek keempat) kononnya dari IPK Pahang.

Menurut beliau, pada hari sama lebih kurang pukul 4.06 petang, mangsa telah menerima pesanan WhatApp daripada suspek keempat dan mangsa menghantar tiga maklumat akaun bank miliknya untuk membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Selepas itu, suspek keempat telah menghantar satu salinan surat pengesahan kewangan dari BNM.

“Seterusnya mangsa telah diarahkan supaya memasukkan kesemua wang simpanannya ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek keempat untuk tujuan siasatan dan sekiranya mangsa gagal berbuat demikian, kesemua wang dalam akaun banknya akan dibekukan,” katanya.

Mohd. Yusri berkata, oleh kerana berada dalam ketakutan dan cemas, mangsa telah melakukan sebanyak 20 kali transaksi pindahan wang ke empat akaun bank berbeza melibatkan jumlah sebanyak RM181,650.

“Setelah sedar dan mengesyaki dirinya ditipu, mangsa telah membuat satu laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu) dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor