HomeBeritaKPDN Perak patahkan cubaan seludup RON95 bernilai RM5,123

KPDN Perak patahkan cubaan seludup RON95 bernilai RM5,123

PENGKALAN HULU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya mematahkan cubaan seorang warga Thailand menyeludup minyak petrol RON95 ke negara jiran pada Sabtu.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 51 tahun itu ditahan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak ketika melakukan pemeriksaan kenderaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, di sini sekitar jam 11.30 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kereta bernombor plat Malaysia yang mahu menuju ke Betong, Thailand itu telah menemukan sebuah tangki tambahan pada bahagian belakang yang bersambung dengan tangki asal kenderaan tersebut.

“Kita turut menemukan cecair yang disyaki minyak petrol berada di dalam tangki tambahan ini. Sehubungan itu, penguat kuasa KPDN Perak telah mengambil tindakan dengan menahan pemandu tersebut.

“Dianggarkan sebanyak 60 liter cecair yang disyaki minyak petrol telah disita bersama kenderaan dengan anggaran nilai sitaan berjumlah RM5,123,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad, lapor Sinar Harian.

Kamalludin berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang membawa hukuman kepada individu terlibat iaitu denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“KPDN Perak terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga,” katanya.

Jelas beliau, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan atau beberapa saluran aduan yang disediakan untuk bersama-sama membanteras aktiviti ini daripada terus berlaku.

 

Author

Pilihan Editor