HomeBeritaPemuda warga asing maut digilis kereta api di Klang

Pemuda warga asing maut digilis kereta api di Klang

KLANG: Seorang lelaki warga asing berusia 19 tahun ditemukan maut, selepas dipercayai digilis kereta api di tepi landasan berdekatan sebuah kilang di Pelabuhan Utara, dekat sini pada Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, pihaknya menerima laporan penemuan mayat tidak berbaju tersebut pada jam 11.35 pagi.

“Kejadian berlaku di tepi landasan berhadapan kilang di Jalan Pelabuhan Utara.

“Mangsa berusia 19 tahun dan terdapat kecederaan di bawah paras lutut kedua-dua kaki dipercayai digilis kereta api,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mayat mangsa sudah pun dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Author

Pilihan Editor