HomeBeritaSelamba benarkan kanak-kanak memandu, lelaki bakal didenda, dipenjara

Selamba benarkan kanak-kanak memandu, lelaki bakal didenda, dipenjara

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang lelaki yang membenarkan kanak-kanak memandu kereta di Taman Daya, di sini, pada Ahad lalu membawa padah apabila berdepan hukuman denda dan penjara.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kejadian yang berlaku di kawasan taman permainan itu menyebabkan suspek boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Malah, Raub berkata, suspek berusia 25 tahun itu juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Pada Jumaat sekitar jam 12 tengah hari, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, telah menerima maklumat berhubung gambar yang tular di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak sedang memandu kenderaan di jalan raya awam dengan seorang lelaki dewasa duduk di sebelah tempat penumpang.

“Hasil siasatan yang dijalankan, pihak IPD Johor Bahru Selatan mengesahkan kejadian berlaku Ahad lalu sekitar jam 5.30 petang di kawasan Taman Permainan Taman Daya di sini.

“Ketika kejadian, suspek yang juga merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak tersebut telah membenarkan kanak-kanak itu memandu kereta dengan tujuan mengajarnya memandu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Raub berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat unsur-unsur pengabaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah, boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.

Author

Pilihan Editor