HomeBeritaSubsidi gula dalam kuantiti besar langkah mundur - Ka Siong

Subsidi gula dalam kuantiti besar langkah mundur – Ka Siong

CYBERJAYA: Langkah mengembalikan subsidi gula dalam kuantiti besar merupakan langkah mundur dalam reformasi kerajaan ke arah menghapuskan subsidi menyeluruh.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan subsidi gula itu menganggap bahawa, langkah berkenaan juga akan menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia.

“Ini kerana gula dianggap ‘racun’ kepada tubuh manusia jika diambil secara berlebihan.

“Lebih membimbangkan apabila Malaysia secara konsisten telah disenaraikan mempunyai kadar diabetis tertinggi di dunia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Tangkap layar hantaran Ka Siong di laman Facebook.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa, kerajaan sudah pun mengembalikan subsidi RM1 sekilogram untuk gula kasar dan gula halus bermula November tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ka Siong yang juga Presiden MCA mendakwa bahawa, pemulangan semula subsidi gula itu dilakukan secara ‘senyap-senyap’, manakala Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah membangkitkan sebarang isu mengenai perkara tersebut di Parlimen.

Bekas Menteri Pengangkutan itu tidak menolak kemungkinan, pemulangan subsidi gula akan menambah beban perbelanjaan kerajaan sekitar RM500 hingga RM600 juta setahun.

Justeru, beliau menegaskan bahawa, wang berkenaan lebih wajar untuk diperuntukkan kepada barangan lain.

“Sekiranya kerajaan ingin memberi subsidi terhadap barang keperluan rakyat, lebih elok sekiranya diberikan subsidi ayam yang jelas telah meningkat harganya kepada RM10.33 sekilogram berbanding RM8 sekilogram, sebelum kerajaan bertindak memansuhkannya pada November 2023.

“Kerajaan perlu sentiasa bertanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat pada masa kini dan akan datang.

“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2013, memansuhkan subsidi gula dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2019 yang mengenakan cukai ke atas minuman bergula,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia merupakan negara yang mempunyai harga gula termurah di dunia dan sudah tiba masanya kerajaan bertindak memainkan peranan, dengan menghapuskan atau menaikkan harga kawalan gula.

“Dalam masa yang sama, tindakan ini dapat mendidik rakyat untuk mengurangkan penggunaan gula dalam kehidupan seharian,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan supaya meneliti semula dan mempertimbangkan pembatalan subsidi gula demi kebaikan kesihatan rakyat dan kelestarian dasar sedia ada.

Sebelum ini, pengeluar gula, MSM Malaysia Holding Bhd (MSM) mencadangkan kerajaan untuk menaikkan harga RM2.85 sekilogram untuk gula peket kasar kepada RM3.85 sekilogram, selaras dengan kos pengeluaran semakin meningkat.

Author

Pilihan Editor