HomeHiburanSharnaaz buka mulut isu saling ‘unfollow’ di Instagram bersama Amelia Christie

Sharnaaz buka mulut isu saling ‘unfollow’ di Instagram bersama Amelia Christie

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad, 39, akhirnya membuka mulut mengenai khabar angin yang mendakwa dia dan Amelia Christie saling unfollow di Instagram.

Namun Sharnaaz enggan memberi sebarang komen mengenai hal peribadi berkaitan dia dan Amelia.

“Saya rasa memang fokus saya sekarang ni adalah untuk saya dan anak saya. Tetapi saya dan Amelia okay sahaja. 

“Kami masih mempunyai hubungan yang baik, Dia masih rapat dengan anak saya,” katanya ketika ditemui di Grand Launching Elrah Exclusive di Four Seasons Hotel, Kuala Lumpur pada petang Isnin.

Menyentuh isi hubungan pula, pelakon drama Bukan Bidadari itu berkata, pada usianya yang sekarang adalah tidak sesuai untuk bercakap mengenai soal cinta apatah lagi dia tidak pernah mengiyakan atau menafikan hubungan dengan Amelia.

“Saya tidak mahu bercerita tentang cinta. Fokus saya. Kerjaya dan anak. Saya dan Amelia baik sahaja tiada masalah.

“Saya pun tidak pernah mengiakan hubungan cinta dengan dia (Amelia) pada mana-mana pihak.

“Jadi tak boleh nak cakap putus. Saya pun sudah nak masuk 40 tahun, nak bercerita pasal cinta rasa macam merepek,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, Sharnaaz turut menyatakan yang dia tidak menolak sekiranya ada peluang kedua untuk mendirikan rumah tangga selepas ini.

Bagaimanapun, baginya perkahwinan bukanlah keutamaan sebaliknya dia memilih untuk fokus kepada anaknya iaitu Jebat Jayden.

“Biarlah dulu fasal kahwin, lagipun saya pernah kahwin. Kalau ada rezeki jodoh saya okay.

“Kalau tiada pun okay sahaja. Saya dah ada anak. Jadi fokus saya nak cari duit untuk keluarga memandangkan Jebat pun nak masuk sekolah,” katanya.

Untuk rekod, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga bersama Noor Nabila pada Mac 2017, namun disahkan bercerai sekitar Julai 2020.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak tunggal, Jebat Jayden yang kini  berusia 6 tahun.

Author

Pilihan Editor