HomeBeritaMahkamah & Jenayah2 wanita dicekup bersama pil yaba bernilai lebih RM120,000

2 wanita dicekup bersama pil yaba bernilai lebih RM120,000

KOTA BHARU: Dua wanita ditahan bersama 20,000 biji pil yaba seberat 2,530 gram (g) ketika serbuan di tepi jalan dekat Kampung Sering, di sini pada Isnin lalu.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, serbuan pada jam 2.30 petang itu dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kelantan ketika kedua-dua suspek yang berusia 32 dan 38 tahun tersebut berada di dalam sebuah kereta.

“Pemeriksaan dalam kereta menjumpai satu tong yang terdapat satu guni warna putih mengandungi 20,000 biji pil disyaki pil yaba dianggarkan bernilai RM128,480.

“Turut dirampas sebuah kereta Perodua Myvi bernilai RM26,800 dan ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Zaki berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mulai 27 Februari hingga 4 Mac ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dalam serbuan berasingan, beliau berkata, polis turut menahan dua penjawat awam termasuk seorang anggota tentera di Kampung Mempelam, Kuala Balah, Jeli dan Kampung Bendang Nyor, Tanah Merah, Ahad lalu.

“Serbuan di Kampung Mempelam menahan pembantu operasi sebuah sekolah berusia 27 tahun dan merampas dua botol plastik mengandungi air ketum bernilai RM20.

“Operasi di Kampung Bendang Nyor menahan seorang anggota tentera berusia 43 tahun dan merampas tujuh biji pil yaba seberat 0.7g bernilai kira-kira RM77,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, Operasi Tapis Bersepadu di seluruh daerah bagi tempoh 25 Februari hingga 29 Februari menahan seramai 376 orang atas pelbagai kesalahan mengikut ADB 1952, ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952.

Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 65 tahun iaitu 361 lelaki dan 15 perempuan termasuk dua penjawat awam.

Sepanjang operasi, pelbagai jenis dadah termasuk 3,511.44g pil yaba, heroin sebanyak 35.93g, syabu (19.83g) dan 19kg daun ketum dirampas, keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM400,000.

“Pelbagai harta turut disita terdiri daripada kenderaan dan wang tunai dianggarkan bernilai RM73,949.81. Kes disiasat mengikut ADB (Pelucuthakan Harta) 1988,” katanya.

 

Author

Pilihan Editor