HomeGlobalAkibat taasub, remaja jalani lebih 100 pembedahan plastik, sanggup kikis tulang

Akibat taasub, remaja jalani lebih 100 pembedahan plastik, sanggup kikis tulang

SEORANG remaja perempuan 18 tahun telah membelanjakan 4 juta yuan (kira-kira RM2.6 juta) untuk pembedahan plastik selama lima tahun.

Zhou Chuna, dari wilayah Zhejiang di timur China, dikatakan taasub melakukan pembedahan plastik sejak berusia 13 tahun kerana dia ingin cantik seperti pelakon China kegemarannya, Esther Yu.

Zhou telah menjalani lebih 100 pembedahan, semuanya ditanggung oleh ibu bapanya, lapor SCMP memetik Toutiao News.

Sejak zaman persekolahannya, dia tidak yakin dengan penampilan wajahnya kerana saudara-mara dan rakan keluarga mengatakan dia tidak kelihatan seperti ibunya yang menarik.

Malang sekali, perasaan tidak yakin itu berlarutan apabila Zhou belajar di sekolah antarabangsa di Shanghai, dia percaya rakan sekelasnya lebih cantik dan lebih yakin.

Dia berasa rendah diri dan cemburu terhadap mereka sehingga dia bertekad untuk mejalani prosedur kecantikan. 

Ketika dia baru berusia 13 tahun, ibu Zhou  telahmemberi kebenaran kepadanya untuk menjalani pembedahan pertama iaitu prosedur membesarkan kelopak mata.

Zhou menjalani prosedur pembedahan plastik pertamanya ketika berusia 13 tahun

Sejak itu, Zhou menjadi taasub untuk mengubah penampilannya, malah berhenti sekolah untuk mengikuti prosedur perubatan lain.

“Saya telah menjalani hampir semua pembedahan plastik yang anda boleh fikirkan, antaranya rhinoplasty dan kikis tulang,” katanya.

Malah, Zhou turut tidak mengendahkan amaran doktornya yang melarang melakukan sebarang pembedahan melibatkan mata kerana difahamkan dia telah menjalani 10 prosedur sebelum ini.

Menurutnya, pembedahan yang paling menyakitkan yang pernah dialami Zhou ialah mengikis tulang.

Tambahnya lagi, bayangan pembedahan itu masih terasa kerana ia berlangsung lebih daripada 10 jam dan dia terlantar atas katil selama 15 hari serta terpaksa makan menggunakan tiub.

“Adakah saya takut dengannya? Sudah tentu, tetapi saya mesti melakukannya,” kata Zhou.

Pada masa itu, tiada doktor yang sanggup melakukan pembedahan kedua ke atasnya, jadi dia mencari doktor baharu setiap kali dia mahu prosedur lain. 

“Kawan lama saya tidak mengenali saya sekarang,” katanya.

Susulan itu, dikatakan ibu Zhou telah berhenti menyokong ketagihannya dan bapanya tidak menerima penampilan wajah baharunya.

“Apabila rakan mereka bertanya sama ada saya adalah anak mereka, ibu bapa saya tidak mengakuinya,” ujarnya.

Zhou menyatakan yang semua pembedahan itu telah membantu dirinya lebih yakin untuk mengejar impian menjadi bintang popular.

 

Author

Pilihan Editor