HomeBeritaINTAC 2024 galak pelancong, ketengah budaya Malaysia

INTAC 2024 galak pelancong, ketengah budaya Malaysia

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100,000 pengunjung dijangka bakal memeriahkan Pameran dan Persidangan Pelancongan dan Kebudayaan Antarabangsa (INTAC) 2024 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (WTCKL) mulai 3 hingga 6 Oktober depan.

Pameran anjuran Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) yang bertujuan menggalakkan sektor pelancongan serta mengetengahkan budaya Malaysia itu akan melibatkan 40 negara, 300 peserta pameran, 12 ‘Country Pavilion’ serta 20 persembahan kumpulan antarabangsa serta domestik.

Manoharan

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Manoharan Periasamy, INTAC 2024 turut menghimpunkan pemimpin industri antarabangsa, peminat budaya dan profesional pelancongan untuk mengadakan perbincangan, perkongsian serta pelaksanaan idea-idea inovatif demi pelancongan mampan serta pemeliharaan budaya.

Jelasnya, ia akan menampilkan beberapa acara termasuk Sidang Kemuncak Menteri, program pertukaran budaya serta warisan budaya negara berbeza yang diketengahkan melalui pameran seni.

Selain itu, beliau berkata, turut diadakan adalah festival kebudayaan dan persidangan yang membincangkan topik berkaitan dengan pemeliharaan dan promosi budaya.

“Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan Pameran Budaya Malaysia, pertunjukan muzik, tarian dan seni budaya Malaysia.

“Tidak sekadar itu, pengunjung pasti terpukau dengan perarakan Festival Antarabangsa yang menampilkan kemunculan penghibur dari seluruh dunia menerusi budaya terbaik dari negara masing-masing,” katanya berucap ketika majlis pra-pelancaran INTAC 2024 di sini pada Isnin.

INTAC 2024 mempromosi pelbagai budaya Malaysia di mata dunia.

Lebih menarik, beliau berkata, INTAC 2024  turut memberi peluang perniagaan, yang mana urusan rangkaian dan perjanjian akan dipermudahkan, dengan kontrak bernilai lebih RM30 juta dijangka ditandatangani ketika acara tersebut.

“Sertai INTAC 2024 sambil meraikan keindahan dan kepelbagaian serta terokai ufuk baharu dalam perjalanan dan budaya,” katanya.

Beliau berkata, industri pelancongan sudah pun mengalami pertumbuhan ketara dalam tempoh dua tahun lalu dan dijangka terus meningkat tidak lama sahaja lagi.

Pada 2023, jelasnya, Malaysia mengalu-alukan kedatangan seramai 20.1 juta pelancong, menjana pendapatan sebanyak RM71.3 bilion sekali gus melepasi sasaran 16.1 juta ketibaan.

Bagi 2024 pula, katanya, negara ini menyasarkan untuk mengalu-alukan 27.3 juta pelancong dengan RM102.7 bilion hasil pendapatan,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor