HomeBeritaDhia ditemui selamat - Ibu

Dhia ditemui selamat – Ibu

KUALA LUMPUR: Selepas lima hari dilaporkan hilang, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar kini ditemui selamat ketika berjalan berseorangan di kawasan lot kedai di Sri Rampai, dekat Setapak di sini pada pagi Ahad.

Menurut ibu kanak-kanak tersebut, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, Dhia ditemui oleh anggota polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi, manakala perkara itu dimaklumkan kepada oleh Unit Rondaan Kawasan Rukun Tetangga Sri Rampai.

“Siti Dhia Batrisyia telah diserahkan kepada saya dan ketika ini kami berada di Hospital Kuala Lumpur bagi melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas anak saya ini,” katanya kepada Bernama.

Berita tersebut turut dikongsikan Syarifah Rosfazila menerusi hantaran di aplikasi WhatsApp pada kira-kira jam 5.52 pagi.

“Allahuakbar… Allah Maha Besar. Dengan segala doa-doa serta pertolongan dari semua orang anak saya Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar telah dijumpai dengan selamat. Kami jumpa dia berjalan berseorangan pada jam 2.28 pagi,” katanya.

Syarifah Rosfazila turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, termasuk pasukan polis IPD Dang Wangi atas usaha mengesan anaknya itu.

Sebelum ini, MEDIA VARIASI melaporkan bahawa, kanak-kanak tersebut dipercayai terasa hati selepas berlaku perselisihan faham berhubung pembelian hadiah ulang tahun perkahwinan ibu bapanya.

Akibat daripada itu, kanak-kanak berkenaan mengambil keputusan untuk keluar dari rumahnya yang terletak di Pudu, di sini.

Author

Pilihan Editor