HomeBeritaHarimau dahan ditemukan mati di Lebuhraya WCE

Harimau dahan ditemukan mati di Lebuhraya WCE

BERUAS: Seekor harimau dahan ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah Trong menghala ke Beruas pada Rabu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff, mengesahkan penemuan bangkai harimau berkenaan selepas pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian itu pada 3 petang.

Menurutnya, harimau dahan dewasa berkenaan dipercayai mati pada Isnin lalu.

“Berdasarkan penelitian terhadap keadaan bangkai terbabit, kita jangka harimau dahan itu sudah mati dua hari sebelumnya.

“Untuk makluman, Perhilitan sudah bertindak mengambil dan melupuskan bangkai terbabit,” katanya lapor Harian Metro.

Terdahulu, satu video berdurasi 22 saat tular di media sosial memaparkan bangkai seekor harimau dahan ditemukan dalam keadaan terbaring di besi penghadang jalan dan dikerumuni lalat.

Sebagai rekod, ini merupakan kejadian kemalangan pertama membabitkan hidupan liar di Seksyen 11 WCE menghubungkan Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas yang baru dibuka pada 12 Mac lalu.

Jajaran sepanjang 35.5 kilometer itu dilaporkan memiliki dua terowong laluan haiwan atau ‘animal box culvert’ dibina merentasi Hutan Simpan Bubu bagi kegunaan hidupan liar melintas dengan selamat.

Author

Pilihan Editor